Menghadapi hari-hari yang mendatang ini sentiasa menguji hati yang lemah ini. Lengkap berjubah, berkopiah, mahupun bertudung litup belum pasti menjanjikan 1001 kebaikan di sana. Hati sering berbolak balik lantaran banyaknya hal yang perlu dihadapi dan difikirkan sehari-hari. Segala perasaan bercampur-baur.
Tiap-tiap hari kita mampu menghadapi kehidupan ini sebagai manusia biasa yang sempurna. Kita mampu bangun dari tidur yang panjang, membersihkan diri, dan bersedia menunaikan segala kewajipan kita. Akhirnya di penghujung hari itu, kita kembali ke kamar kita untuk berehat dan bersedia untuk hari baru. Kehidupan anugerah Allah ini kita laluinya tanpa kita sedar bahawa kita bukanlah pemiliknya, namun kita melaluinya dan kita seperti begitu yakin bahawa hari esok ialah milik kita. Kita begitu pasti bahawa kita akan mampu hidup seperti biasa.
Kita terlupa memahami dan meyakini suatu hakikat bahawa hidup kita, makan minum kita, duduk bangun kita, tidur jaga kita, penat letih kita, suka duka kita, yang penting apa sahaja yang kita lakukan sehari-hari itu akan diakhiri dengan suatu titik permulaan yang baru yang dinamakan KEMATIAN. Mengapa dikatakan titik permulaan? Kerana perjalanan kita bukanlah akan berakhir di situ, kita hanya singgah seketika dan kita pasti akan dibangkitkan kembali oleh Allah s.w.t. untuk menerima balasan atas segala yang telah kita lakukan di dunia ini, sama ada berbentuk ganjaran atau seksaan, nauzubillahi min zalik.
Andaikata kita diberi pilihan untuk hidup atau sebaliknya, pastinya kita memilih untuk hidup, tetapi kita terlupa bahawa suatu hari nanti, kita pasti akan mati, kita semestinya akan mengakhiri kehidupan ini. Namun kita tidak pernah dan tidak akan tahu bilakah masanya, dimanakah tempatnya, dan suatu yang benar-benar dibimbangi, apakah keadaan iman kita saat itu, bagaimanakah hati kita tika itu, adakah Allah redha dengan kita sebagai hambaNya?
Marilah sama-sama kita duduk sebentar bagi meneliti kembali kehidupan yang telah kita lalui, bagaimana kita mengisi masa-masa yang ada, apakah dengan ketaatan kepada Allah s.w.t. atau sebaliknya? Kita hambaNya yang lemah, sentiasa mengharapkan keampunan dan rahmat dari Allah s.w.t., Pencipta diri kita dan alam ini seluruhnya...
(Ali-Imran: 133)
Pada suatu hari, Putera Ali bin Khalifah al-Ma’mun al-‘Abbasiy menaiki menara istananya yang tinggi. Dari situ dia melihat kesibukan kotaraya Baghdad dangan aktiviti perniagaan yang sedang berjalan rancak. Tiba-tiba pandangannya tertumpah pada seorang lelaki yang mengambil upah mengangkut barang-barang. Wajahnya tampak tenang. Dia menyangkut tali di bahunya dan meletakkan barang-barang di atas belakangnya, memunggah dan mengangkut barang-barang dari satu kedai ke satu kedai, dari satu tempat ke satu tempat dengan upah tertentu.
Hari berikutnya Al-Ameer memerhatikan lelaki itu menjalankan aktiviti yang sama dengan jadual yang sama, tidak berubah daripada semalam. Demikianlah pada hari ketiga dan keempat. Lalu Al-Ameer mengutus salah seorang pengawalnya membawa lelaki itu mengadapnya di istana. Pengawal segera menjalankan arahan. Lelaki itu di bawa ke istana mengadap Al-Ameer. Maka berlakulah percakapan antara keduanya seperti berikut:
Al-Ameer: Tidakkah kamu mengenaliku?
Al-Hammal: Aku tidak pernah melihatmu, bagaimana aku boleh mengenalimu?
Al-Ameer: Aku adalah Putera Khalifah.
Al-Hammal: Itulah yang mereka beritahu kepadaku.
Al-Ameer: Apa pekerjaanmu?
Al-Hammal: Aku bekerja bersama dengan hamba-hamba Allah di bumi Allah.
Al-Ameer: Aku telah memerhatikanmu sejak beberapa hari yang lalu. Aku lihat kamu dalam keadaan yang susah, maka aku ingin meringankan kesusahanmu.
Al-Hammal: Bagaimana caranya?
Al-Ameer: Kamu dan keluargamu tinggal bersamaku di istana, makan dan minum dengan selesa. Kamu tidak risau, tidak sedih dan tidak berdukacita.
Al-Hammal: Wahai al-Ameer, tiada kesedihan bagi mereka yang tidak melakukan dosa, tiada dukacita bagi mereka yang tidak menderhakai Allah dan tiada kerisauaran bagi mereka yang tidak melakukan kejahatan. Adapun mereka yang pada waktu petang melakukan perkara yang dimurkai Allah, waktu pagi melakukan maksiat kepada Allah, mereka itulah orang-orang yang risau, sedih dan dukacita.
Al-Ameer: Adakah kamu mempunyai keluarga dan bagaimana keadaan mereka?
Al-Hammal: Ibuku telah tua, adik perempuanku pula lumpuh dan buta. Kedua-duanya berpuasa setiap hari. Aku membawakan kepada mereka makanan untuk berbuka. Kami makan bersama-sama, kemudian tidur.
Al-Ameer: Bila kamu bangun dari tidur?
Al-Hammal: Apabil al-Hayyu al-Qayyum (Allah ‘Azza wa Jalla) turun ke langit dunia.
Al-Ameer: Adakah kamu menanggung hutang?
Al-Hammal: Ya! Dosa-dosaku yang lalu antara aku dengan Tuhanku
Al-Ameer: Adakah kamu inginkan kehidupan seperti kami?
Al-Hammal: Tidak! Demi Allah, aku tidak mahu!
Al-Ameer: Kenapa?
Al-Hammal: Aku takut hatiku akan jadi keras dan agamaku akan hilang.
Al-Ameer memerhatikannya dengan penuh ketaajuban dan Al-Hammal menasihati dan memperingatinya berhubung dengan iman dan tauhid. Kemudian dia pergi meninggalkan Al-Ameer untuk meneruskan hidupnya.
Pada suatu malam, Al-Ameer terbangun dari tidurnya yang lena. Dia benar-benar merasai bahawa dia telah lama tenggelam di dalam tidur yang amat nyenyak. Seolah-olah ada seseorang yang datang mengejutkannya. Pada tengah malam itu dia memberitahu pengawal-pengawalnya bahawa dia akan pergi ke tempat yang jauh. Dia berpesan kepada mereka supaya memberitahu ayahandanya bahawa mereka akan bertemu kembali pada Hari Perhimpunan yang agung.
Mereka bertanya apa yang menyebabkan dia membuat keputusan sedemikian?
Dia menjawab: Aku melihat kepada diriku, tiba-tiba aku tersedar bahawa selama ini aku tidur, sesat dan tiada halatuju yang jelas. Aku ingin berhijrah dengan ruhku kepada Tuhanku.
Dia keluar sendirian meredah kegelapan malam setelah menanggalkan pakaian kebesaran sebagai seorang putera raja dan memakai pakaian orang-orang fakir. Pemergiannya tidak diketahui oleh Khalifah dan penduduk kota Baghdad.
Dia memberitahu khadamnya pada hari dia meninggalkan istana bahawa dia berjalan menuju ke Bandar Wasit. Namun keadaannya tidak lagi sebagai seorang putera raja, tetapi sebagai seorang fakir rakyat biasa. Dia menjadi penjual di kedai membuat gelang (barang kemas). Dia mempunyai jadual tetap menghafaz al-Quran setiap pagi, puasa pada hari Isnin dan Khamis, bangun malam bertahajjud dan berdoa. Dia tidak menyimpan harta kecuali sekadar cukup untuk satu hari sahaja. Perasaan sedih, risau dan dukacita telah hilang daripadanya. Sifat sombong dan ujub juga telah lenyap dari hatinya.
Ketika kematian menghampirinya, dia menyerahkan sebentuk cincin kepada saudagar yang menjadi majikannya seraya berkata:
Aku adalah putera kepada Khalifah al-Ma’mun. Kalau aku mati, mandikan aku, kafankan dan kuburkan. Kemudian pergilah kamu menemui ayahandaku dan serahkan cincin ini kepadanya.
Setelah Al-Ameer meninggal dunia, saudagar melaksanakan pesanannya. Kemudian dia membawa cincin itu kepada Khalifah al-Ma’mun dan menceritakan kisah puteranya. Melihat cincin itu al-Ma’mun menangis dan meraung sekuat-sekuatnya menyebabkan semua menteri yang berada di istana turut menangis. Mereka mengakui bahawa Putera Ali telah memilih jalannya yang betul….
Sumber:
سياط القلوب, د. عائض القرني
(http://zaadut-taqwa.blogspot.com/)
Sila hubungi Sdri Aishah Md Rashid (019-6036816)
untuk pengangkutan ke Ulu Yam.
KEPERLUAN yang perlu dibawa setiap peserta:
1. Al-Quran dan Al-Mathurat
2. Pakaian 3 hari 2 malam
3. Kasut sukan
4. Keperluan harian yang lain
(tuala, berus gigi, ubat gigi, dan lain-lain)
5. Buku catatan dan alat tulis
6. Lampu suluh
7. Satu plastik hitam besar (setiap peserta)
8. Bahan mentah masakan (3hari 2malam)
9. Mass tin, cawan, sudu dan pisau
P/s: khemah dan portable stove akan disediakan oleh urusetia.
Allahu'alam.
Menghadapi hari-hari ini terkadang membuatkan kita lupa pada hakikat penciptaan kita. Kita lupa akan asal-usul kita & kita leka dengan dunia yang kita belum pasti bagaimanakah penghujung hidup kita ini. Malah, kesibukan ini juga telah mengheret kita untuk melupakan titik tolak permulaan kita yang sebenarnya. Kita lupa untuk menghubungkan setiap tindakan & gerak geri kita dengan Pencipta kita & tujuan kita diciptakan. Kita lupa untuk memperbaharui niat kita agar ianya kekal kerana Allah s.w.t.
Allah ada bertanya dalam firmanNya yang membawa maksud:
"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang Telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya Telah diturunkan Al Kitab kepadanya, Kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik".
(Surah Al-Hadid : 16)
Sungguh Allah Maha Mengetahui segalanya. Maka, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah s.w.t agar Allah menerima setiap amalan kita sebagai amal soleh yang memberatkan timbangan kebaikan kita di sisiNya. Marilah wahai hati-hati yang mendengar bicara ini untuk sama-sama kita bisikkan dalam hati kita bahawa setiap apa yang kita laksanakan adalah kerana Allah s.w.t., hatta makan minum kita, duduk bangun kita & segala apa yang kita lakukan adalah keranaNya. Inilah satu-satunya sebab penciptaan kita. Katakanlah pada hati kita bahawa kita hambaNya, maka kita perlu sentiasa berusaha untuk memerhatikan setiap tindakan kita adalah menepati kehendakNya.
Wahai teman seperjuangan yang dirindui selalu, aku mengetahui & turut merasai kesukaran kita untuk terus kekal di atas jalanNya. Namun, Allah yang menciptakan diri & jiwa kita sangat memahami keadaan ini, maka Allah telah menyediakan stesen atau hentian untuk kita mengutip bekalan yang dapat membantu kita untuk mentaatiNya. Marilah sama-sama kita berusaha untuk mendapatkan bekalan yang sewajarnya agar kita mampu menghadapi hari-hari ini dengan penuh keimanan, dalam rahmat & kasih sayangNya. Carilah Allah dalam hidup kita!
Rintihan Hamba
Ya Allah, kami tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab yang Kau amanahkan kepada kami, melainkan dengan bantuanMu. Oleh itu, bantulah kami untuk melaksanakannya!
Ya Allah, kami tidak mampu memelihara diri kami dari terjerumus ke dalam kemaksiatan kepadaMu, melainkan dengan pemeliharaanMu. Oleh itu, peliharalah diri kami dari keterjerumusan itu!
Ya Allah, bantulah kami untuk benar-benar menjadi HAMBA-Mu!


















