Dalam hidup kita sehari-hari, sama ada kita sedar atau tidak, Allah telah mengatur pelbagai ketentuan dan ujianNya untuk Dia lihat, siapa yang paling baik amalnya. Setiap satu itu, perlulah kita hadapinya dengan keimanan. Hanya iman yang mampu memandu kita untuk melepasi setiap ujian itu dengan jayanya.
Namun, kadang-kadang, kita seakan mempersoal, kita mempertikai dan mula memikirkannya dari pandangan yang buruk. Kita mula mencari sebab dan hikmahnya, tanpa kita berusaha untuk memandang dari sudut yang lebih baik.
Kita juga sering lupa kalau Allah tidak pernah menentukan sesuatu itu dengan sia-sia. Kita lupa kalau Allah sentiasa mengharapkan kebaikan buat kita. Yakinlah wahai diri bahawa Allah tidak pernah punya satu kepentingan pun dalam menentukan sesuatu buat diri kita. Tidak pernah walau sekali, tidak pernah.
Allah sangat memnginginkan kebaikan dan kemudahan buat kita. Namun, mengapa kita masih tidak mampu untuk berbaik sangka dengan Dia yang kita amat kenal dengan kasih sayangNya. Bukankah kita tahu kalau Allah itu sangat pemurah dengan setiap hambaNya.
Allah sangat mengasihani diri kita. Kalau tidak, masakan Dia tetap memberi kita peluang demi peluang, kelapangan demi kelapangan. Bukankah kita terlalu sering mengingkariNya? Bukankah kita terlalu sering melanggari setiap batasan yang telah ditetapkan buat kita?
Namun, wahai diri, tidakkah kita sedar kalau Allah itu sering kali menangguhkan azabNya? Dia sering memberi kita peluang dan kemaafan setiap kali kita tersilap dalam langkahan kita. Malah kadang-kadang, Dia sendiri yang menyedarkan kita dan menegur tindakan kita. Dia membimbing kita.
Tidakkah kita sedar? Tidakkah kita merasai betapa kasihnya Allah pada kita? Betapa pemurahnya Allah tanpa pernah berkira dengan kita? Tanpa pernah meminta sedikit balasan pun? Tidakkah kita menyedari kasih sayang Allah itu? Tidakkah kita sedar wahai diri? Atau kita telah buta dari segala rasa?
Post a Comment