Maaf
Bicara pendek penuh rasa
Terpacul mudah dari setiap jiwa yang menginginkannya
Namun
Bagi si pemberi, ia tak pernah semudah kata
Hati bercampur rasa
Terkadang sebati dengan tangis kecewa
Jiwa itu terseksa dalam sedunya
Walau maaf diberi sepantas bicara
Namun tak mampu terpadam dengan hembus nafasnya
Walaupun berzaman telah ditinggalkannya
Di kala maaf itu belum mampu mengubati jiwa
Hati terkenang manusia agung pilihan si pencipta
Lagaknya biasa sebagai hamba
Dicaci dihina diseksa pelbagai cara
Namun
Dia bagai tidak kenal erti ‘pedih’
Bagai tidak pernah tahu makna ‘sedih’
Lantaran jiwanya yang teramat bersih
Dia mampu lontarkan senyuman
Lontaran penuh kasih tanpa dendam
Takkan terkeluar bicara kesat
Takkan dibalas walaupun sesaat
Kerana dia tahu
Dia sangat memahami ciptaan itu
Manusia lemah yang akan tersilap
Manusia hina yang terkadang dia tersalah melangkah
Namun baginda sedia menghulurkan
Menghulurkan kasih dan memberi maaf
Walau belum sempat dipinta darinya
Walau belum terungkap segala bicara
Setelah kisah itu memukul hati
Menyedarkan diri dari lamunan mimpi
Maka jika nanti maaf perlu diberi
Tika perlu memaafkan dia tanpa benci
Sedih itu pasti menyapa hati
Seakan tidak mampu memadam memori
Namun
Akan ku hulurkan dengan rela
Memberi setiap maaf sepenuh jiwa
Akan aku usaha
Akan ku lapangkan jiwa seperti baginda
Hingga mampu ku rayu rahmat pencipta
Mampu ku tunggu syafaat baginda
Saat tiada lagi yang ingin ku pinta
Melainkan rahmat pencipta dan syafaat baginda
Post a Comment