• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
Posted by gen13's peers - - 0 comments

Sedarkah kita bahawa hidup ini adalah sejarah. Sejarah keimanan dan kekufuran. Sejarah hidup yang sering berulang-ulang. Hari ini, kita melihat kanak-kanak bermain, bukankah dahulunya ada orang lain yang melihat kita bermain? Hari ini, kita dikenali sebagai pelajar yang sedang menuntut ilmu, suatu hari nanti, kita pula akan memandang remaja-remaja di sekeliling kita ialah pelajar yang sedang menuntut ilmu. Hari ini, kita melihat seseorang itu sebagai orang tua. Suatu hari nanti, orang lain pula melihat kita sebagai orang tua… dan kini, kita menerima berita kematian manusia di sekeliling kita, maka suatu hari nanti, manusia lain pula akan menerima berita kematian kita.

Hidup ini sejarah yang tiada pembaharuan, tiada kelainan. Hanya sejarah keimanan dan kekufuran. Kebahagian yang diperolehi ialah lantaran iman, dan kebinasaan adalah kerana kekufuran. Dosa yang dibuat pada hari ini ialah dosa yang pernah dibuat pada suatu masa dahulu. Tiada suatu dosa baru yang direka atau kaedah jahat lain yang disusun oleh golongan terlaknat, syaitan yang direjam. Semuanya itu pernah dilakukan. Pernah berlaku, pernah berulang dan masih berulang. Kemusnahan dan kebinasaan itu pasti akan berulang lagi apabila kita tidak bersungguh-sungguh berusaha untuk memilih jalan keimanan. Moga Allah membantu kita untuk menjadi hambaNya.

Rintihan Hamba

Ya Allah, kami tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab yang Kau amanahkan kepada kami, melainkan dengan bantuanMu. Oleh itu, bantulah kami untuk melaksanakannya!

Ya Allah, kami tidak mampu memelihara diri kami dari terjerumus ke dalam kemaksiatan kepadaMu, melainkan dengan pemeliharaanMu. Oleh itu, peliharalah diri kami dari keterjerumusan itu!

Ya Allah, bantulah kami untuk benar-benar menjadi HAMBA-Mu!