Pada suatu hari, Putera Ali bin Khalifah al-Ma’mun al-‘Abbasiy menaiki menara istananya yang tinggi. Dari situ dia melihat kesibukan kotaraya Baghdad dangan aktiviti perniagaan yang sedang berjalan rancak. Tiba-tiba pandangannya tertumpah pada seorang lelaki yang mengambil upah mengangkut barang-barang. Wajahnya tampak tenang. Dia menyangkut tali di bahunya dan meletakkan barang-barang di atas belakangnya, memunggah dan mengangkut barang-barang dari satu kedai ke satu kedai, dari satu tempat ke satu tempat dengan upah tertentu.
Hari berikutnya Al-Ameer memerhatikan lelaki itu menjalankan aktiviti yang sama dengan jadual yang sama, tidak berubah daripada semalam. Demikianlah pada hari ketiga dan keempat. Lalu Al-Ameer mengutus salah seorang pengawalnya membawa lelaki itu mengadapnya di istana. Pengawal segera menjalankan arahan. Lelaki itu di bawa ke istana mengadap Al-Ameer. Maka berlakulah percakapan antara keduanya seperti berikut:
Al-Ameer: Tidakkah kamu mengenaliku?
Al-Hammal: Aku tidak pernah melihatmu, bagaimana aku boleh mengenalimu?
Al-Ameer: Aku adalah Putera Khalifah.
Al-Hammal: Itulah yang mereka beritahu kepadaku.
Al-Ameer: Apa pekerjaanmu?
Al-Hammal: Aku bekerja bersama dengan hamba-hamba Allah di bumi Allah.
Al-Ameer: Aku telah memerhatikanmu sejak beberapa hari yang lalu. Aku lihat kamu dalam keadaan yang susah, maka aku ingin meringankan kesusahanmu.
Al-Hammal: Bagaimana caranya?
Al-Ameer: Kamu dan keluargamu tinggal bersamaku di istana, makan dan minum dengan selesa. Kamu tidak risau, tidak sedih dan tidak berdukacita.
Al-Hammal: Wahai al-Ameer, tiada kesedihan bagi mereka yang tidak melakukan dosa, tiada dukacita bagi mereka yang tidak menderhakai Allah dan tiada kerisauaran bagi mereka yang tidak melakukan kejahatan. Adapun mereka yang pada waktu petang melakukan perkara yang dimurkai Allah, waktu pagi melakukan maksiat kepada Allah, mereka itulah orang-orang yang risau, sedih dan dukacita.
Al-Ameer: Adakah kamu mempunyai keluarga dan bagaimana keadaan mereka?
Al-Hammal: Ibuku telah tua, adik perempuanku pula lumpuh dan buta. Kedua-duanya berpuasa setiap hari. Aku membawakan kepada mereka makanan untuk berbuka. Kami makan bersama-sama, kemudian tidur.
Al-Ameer: Bila kamu bangun dari tidur?
Al-Hammal: Apabil al-Hayyu al-Qayyum (Allah ‘Azza wa Jalla) turun ke langit dunia.
Al-Ameer: Adakah kamu menanggung hutang?
Al-Hammal: Ya! Dosa-dosaku yang lalu antara aku dengan Tuhanku
Al-Ameer: Adakah kamu inginkan kehidupan seperti kami?
Al-Hammal: Tidak! Demi Allah, aku tidak mahu!
Al-Ameer: Kenapa?
Al-Hammal: Aku takut hatiku akan jadi keras dan agamaku akan hilang.
Al-Ameer memerhatikannya dengan penuh ketaajuban dan Al-Hammal menasihati dan memperingatinya berhubung dengan iman dan tauhid. Kemudian dia pergi meninggalkan Al-Ameer untuk meneruskan hidupnya.
Pada suatu malam, Al-Ameer terbangun dari tidurnya yang lena. Dia benar-benar merasai bahawa dia telah lama tenggelam di dalam tidur yang amat nyenyak. Seolah-olah ada seseorang yang datang mengejutkannya. Pada tengah malam itu dia memberitahu pengawal-pengawalnya bahawa dia akan pergi ke tempat yang jauh. Dia berpesan kepada mereka supaya memberitahu ayahandanya bahawa mereka akan bertemu kembali pada Hari Perhimpunan yang agung.
Mereka bertanya apa yang menyebabkan dia membuat keputusan sedemikian?
Dia menjawab: Aku melihat kepada diriku, tiba-tiba aku tersedar bahawa selama ini aku tidur, sesat dan tiada halatuju yang jelas. Aku ingin berhijrah dengan ruhku kepada Tuhanku.
Dia keluar sendirian meredah kegelapan malam setelah menanggalkan pakaian kebesaran sebagai seorang putera raja dan memakai pakaian orang-orang fakir. Pemergiannya tidak diketahui oleh Khalifah dan penduduk kota Baghdad.
Dia memberitahu khadamnya pada hari dia meninggalkan istana bahawa dia berjalan menuju ke Bandar Wasit. Namun keadaannya tidak lagi sebagai seorang putera raja, tetapi sebagai seorang fakir rakyat biasa. Dia menjadi penjual di kedai membuat gelang (barang kemas). Dia mempunyai jadual tetap menghafaz al-Quran setiap pagi, puasa pada hari Isnin dan Khamis, bangun malam bertahajjud dan berdoa. Dia tidak menyimpan harta kecuali sekadar cukup untuk satu hari sahaja. Perasaan sedih, risau dan dukacita telah hilang daripadanya. Sifat sombong dan ujub juga telah lenyap dari hatinya.
Ketika kematian menghampirinya, dia menyerahkan sebentuk cincin kepada saudagar yang menjadi majikannya seraya berkata:
Aku adalah putera kepada Khalifah al-Ma’mun. Kalau aku mati, mandikan aku, kafankan dan kuburkan. Kemudian pergilah kamu menemui ayahandaku dan serahkan cincin ini kepadanya.
Setelah Al-Ameer meninggal dunia, saudagar melaksanakan pesanannya. Kemudian dia membawa cincin itu kepada Khalifah al-Ma’mun dan menceritakan kisah puteranya. Melihat cincin itu al-Ma’mun menangis dan meraung sekuat-sekuatnya menyebabkan semua menteri yang berada di istana turut menangis. Mereka mengakui bahawa Putera Ali telah memilih jalannya yang betul….
Sumber:
سياط القلوب, د. عائض القرني
(http://zaadut-taqwa.blogspot.com/)
assalamualaikum..
suatu perkongsian yg sgt bermakna untuk diri ini..dalam kesenangan hidup yg kita lalui sehingga boleh mengaburkan keresahan dan kesusahan hati yang kita x pernah sedar..seperti ada yg hilang,tapi x pernah berusaha untuk mencari yg hilang itu..syukran jazilan pada yg sudi berkongsi artikel ini..
wallahualam..