• RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
Posted by gen13's peers - - 0 comments

Pernah suatu pagi, saya bangun dari tidur seperti hari-hari sebelumnya. Saya bersihkan diri dan menunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang hambaNya seperti biasa. Namun, tiba-tiba saya menyedari suatu hakikat yang tak pernah saya rasa sebelum ini. Saya terasa lainnya pagi itu, bagai ada yang tak kena. Lantas saya letakkan tangan saya di dada dan saya bertanya, “Di mana hati saya? Mengapa hari ini saya rasa hati saya hilang dari tempatnya? Ke mana ia telah pergi?”


Seribu persoalan bermain di fikiran saya. Saya tak dapat duduk diam mencari hati saya. Saya bertanya dan terus bertanya tanpa ada yang menjawabnya.

Akhirnya, saya buat keputusan untuk menghubungi guru saya, dalam masa yang sama menjadi sahabat saya yang juga ‘doktor’ bagi diri saya. Seperti biasa, saya mulakan perbualan dengan bertanya khabar. Lalu terpancurlah hajat saya menghubunginya dengan suatu persoalan, saya bertanya,


“kenapa saya rasa hati saya dah takda? .. saya rasa ia dah hilang.. saya tak dapat rasa apa-apa.. Apa yang perlu saya buat..?”, saya mengadu keperitan yang dialami.


Sahabatku itu bertanya, “ Ingat tak surat jawapan Imam Hasan Al-Banna’ terhadap surat lelaki tanpa hati yang murabbi kita pernah bacakan kepada kita tempoh hari?”

“Ingat”, jawab saya ringkas.

“Cubalah baca balik surat tu dengan penuh penghayatan.. Mintalah Allah bantu..”, pesannya dengan penuh kasih sayang.


Tanpa berlengah lagi, terus saya cari surat di dalam buku yang dimaksudkan oleh guruku tadi. Saya membelek-beleknya dengan penuh pengharapan dan saya temui surat tersebut. Saya membacanya sebaik mungkin. Antara tulisannya yang saya baca berbunyi begini..


“.. Berteman dengan orang-orang khusyu’ yang selalu merenung, bergaul dengan orang-orang yang selalu berfikir dan menyendiri, dekat dengan orang yang bertaqwa dan soleh yang darinya terpancar hikmah dan dari wajah mereka terpancar cahaya, dan hati mereka bertambah dengan makrifat adalah penawar yang mujarab.

Berusahalah berteman dengan orang-orang seperti mereka, selalu bersama mereka, kembali kepada mereka dan engkau sambung ruhmu dengan ruh mereka, jiwamu dengan jiwa mereka serta engkau habiskan waktu lapangmu bersama mereka..

Berteman dengan mereka ialah ubat yang paling mujarab, kerana watak manusia sering mencuri, sehingga hati terpengaruh oleh hati dan jiwa mengambil dari jiwa. Oleh itu, berusahalah menemukan jiwa-jiwa yang soleh sebagai teman ..”


Inilah suatu hakikat yang benar-benar saya rasai. Pentingnya sahabat soleh di dalam hidup ini, yang dapat saling memperingati dan membantu dalam usaha menuju keredhaan dan SyurgaNya di esok hari..


stay care, izzah zaaba..

Rintihan Hamba

Ya Allah, kami tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab yang Kau amanahkan kepada kami, melainkan dengan bantuanMu. Oleh itu, bantulah kami untuk melaksanakannya!

Ya Allah, kami tidak mampu memelihara diri kami dari terjerumus ke dalam kemaksiatan kepadaMu, melainkan dengan pemeliharaanMu. Oleh itu, peliharalah diri kami dari keterjerumusan itu!

Ya Allah, bantulah kami untuk benar-benar menjadi HAMBA-Mu!